Tuesday, August 17, 2010

Telaga Simpul


Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit dari bandar Kemaman dan berhampiran dengan Pantai Marina . Telaga Simpul di Kemaman sememangnya terkenal dengan sejarahnya tidak kurang juga kaya dengan cerita-cerita mistiknya. Tempat ini menjadi persinggahan bagi pelayar dan pedagang untuk berhenti rehat. Menurut cerita orang- orang tua dahulu pula, tempat ini dikatakan menjadi ‘kediaman’ bagi makhluk halus.


Dahulu telaga ini hanya berdindingkan tanah, namun kini batu-bata mengelilingi telaga itu agar ia kelihatan lebih bersih dan memudahkan pengunjung mengunjunginya.

Kisah asal usul Telaga Simpul pastinya dapat dibaca apabila anda mengunjungi kawasan tersebut memandangkan terdapat sebuah batu yang menceritakan tentang kisah di sebalik wujudnya telaga itu. Menurut cerita yang dimaklumkan, Telaga Simpul wujud akibat aliran mata air yang mengalir dari atas Bukit Pejajat dan mula bertakung di kaki bukit itu sehingga menjadi seperti sebuah kolam. Airnya yang dikatakan tidak kering, jernih dan segar sehingga kini menyebabkan ia dipanggil telaga.


Menurut cerita penduduk, telaga ini sering dikunjungi oleh penduduk tempatan untuk minum, basuhan serta mandi-manda selain menjadi tempat persinggahan pelayar-pelayar mengisi bekalan air untuk belayar. Catatan awal mendapati telaga ini dipercayai dibina oleh Abdullah Munshi ketika beliau belayar ke Kelantan, Pahang dan Terengganu namun sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan beliau yang membinanya.

Namun jika dilihat daripada catatan buku Abdullah Munshi dalam buku yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, ada menyebut semasa pelayaran balik dari Kelantan, beliau singgah ke satu tempat di Kemaman iaitu sebuah tempat yang dinamakan Telaga Simpul untuk mengambil air minuman dan mandi-manda.


Dalam catatan tersebut menceritakan ketika berada di telaga itu, beliau dan awak-awaknya mandi di telaga berkenaan. Namun selepas mandi, beliau menyuruh awak-awaknya mengambil sehelai daun mengkuang setiap orang yang tumbuh di sekitar kawasan telaga berkenaan. Beliau mengarahkan awak-awak menyimpul daun tersebut dan meletakkannya berhampiran telaga itu bagi mengelakkan mereka ditimpa bencana jika tidak berbuat demikian. Menurutnya, ia perlu dilakukan kerana menjadi adat dan pantang-larang penduduk tempatan sejak dahulu lagi.

Begitulah cerita sebuah telaga yang kini hanya menjadi tinggalan sejarah di Daerah Kemaman. Jika anda mengunjungi telaga tersebut , pastinya memberikan satu kelainan apabila dapat melihat tinggalan sejarah mistik itu.

0 comments:

Post a Comment