Tuesday, July 6, 2010

Pelabuhan Kemaman Tumpuan Kapal Mewah

Pelabuhan Kemaman turut tercatat dalam peta pelayaran kapal-kapal pesiaran mewah dunia sebagai destinasi pilihan untuk persinggahan sejak 2005 lagi.

Tarikan baru itu memberi impak kepada pelancongan di Terengganu berikutan kapal yang mampu membawa lebih 2,000 pelancong dari luar negara pada satu-satu masa itu, turut dibawa melawat ke pelbagai destinasi menarik sekitar Kemaman dan Kuala Terengganu.

Lima persinggahan kapal pesiaran mewah telah direkodkan iaitu pada 9 Disember dan 26 Disember 2005 (Kapal Diamond Princess); 12 Disember 2006 (Kapal Sapphire Princess) dan P & O Oriana pada 6 Februari tahun 2008 .


Pada 1 Februari 2009, kapal mewah Arcadia dari Southampton, London berlabuh di Pelabuhan Kemaman dengan membawa 2,566 penumpang.

Pelbagai acara menarik disediakan oleh Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyambut kehadiran pelancong barat itu termasuk persembahan kebudayaan serta gerai jualan barangan kraf tempatan seperti batik dan ukiran.

Penumpang kapal mewah itu turut dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Chukai dengan menaiki bas dan teksi. Kapal mewah yang berlabuh beberapa jam itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Bangkok, Thailand sebelah petang.

Selain Arcadia, tiga persinggahan kapal mewah lagi telah tercatat di Pelabuhan Kemaman sepanjang tahun 2009, termasuk Oriana (P & O Cruises) pada 8 Mac 2009 yang membawa 1,928 penumpang; kapal Rotterdam (Holland America Line) pada 15 Mac 2009 dengan muatan 1,316 penumpang dan kapal Volendam (Holland Amerika Line) (1,432 penumpang) pada 5 April 2009

Kapal Diamond Princess berlabuh di pelabuhan Kemaman

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) Encik Nik Mohd Syahrom Nik Md Hashim, berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Terengganu bersedia menyambut kedatangan pelancong dengan menyediakan kaunter penerangan pelancongan, gerai jualan dan persembahan kebudayaan di dermaga Pelabuhan Kemaman.

Katanya, 1,500 hingga 2,000 pelawat dari kalangan penumpang dan krew kapal yang akan turun melawat dan membeli-belah di sekitar Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuantan pada masa-masa berkenaan.

“Bandar Kuala Terengganu juga dijangka dikunjungi seramai 500 hingga 700 pelancong yang akan melawat destinasi pelancongan sekitar Kuala Terengganu menerusi pakej disediakan agensi pelancongan kepada kapal mewah berkenaan.

“Penduduk setempat pula disarankan menerima kehadiran pelancong dengan penuh kemesraan dan keramahan supaya mampu menarik pelancong berkenaan berbelanja di gerai-gerai yang disediakan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pelancong berkenaan dijangka mampu berbelanja antara RM100,000 sehingga RM150,000 dan sekaligus mampu menambah pendapatan serta merancakkan ekonomi penduduk tempatan.

Katanya, kerajaan negeri dan Tourism Malaysia mengambil kesempatan dengan kehadiran kapal pesiaran mewah itu mampu mempromosikan Terengganu dan Malaysia sebagai antara destinasi percutian yang unggul di dunia.

0 comments:

Post a Comment