Friday, July 2, 2010

Tips Percutian 2



Ada beberapa tips yang boleh anda ikuti bagi memastikan perjalanan anda sentiasa gembira, bermakna dan juga selamat.

1. Sesi untuk Merancang bersama Ahli Keluarga

Walaupun anak-anak anda masih kecil, cuba jadikan mereka lebih teruja untuk mengetahui apa yang bakal mereka tempuhi dan lalui di sepanjang perjalanan nanti. Melalui internet anda boleh memperolehi pelbagai maklumat mengenai perjalanan yang bakal anda tempuhi, jadi bincangkanlah bersama mereka berapa banyak masa dan di mana anda sekeluarga akan berhenti rehat di sepanjang perjalanan nanti. Anda juga boleh memberikan anak-anak anda peluang untuk mengemas barang-barang yang akan mereka bawa sendiri. Ajarlah anak- anak anda erti hak milik dan cara-cara untuk menjaga barang-barang peribadi mereka. Melalui cara ini, anak-anak akan lebih tahu mengawal diri mereka apabila mereka tahu apa yang bakal mereka tempuhi nanti.

2. Berkongsi Pengalaman dan Saat Manis Bersama

Percutian bersama keluarga adalah saat di mana kita menghabiskan masa dan saat-saat terindah bersama ahli keluarga tercinta. Bagi kebanyakan orang, inilah masa yang paling ditunggu-tunggu untuk menghabiskan masa bersama ahli keluarga tanpa terikat dengan mana-mana urusan kerja seperti temujanji, kelas tuisyen, kerja sekolah dan juga waktu tidur yang telahpun ditetapkan. Jangan sia-siakannya! Gunakan masa yang ada untuk berkongsi cerita-cerita menarik dan juga lagu-lagu kegemaran sewaktu zaman kanak-kanak anda. Ambil kesempatan ini juga untuk bercerita kepada anak-anak anda mengenai sejarah dan tempat-tempat menarik yang pernah anda lawati.

3. Teknologi atau tanpa Teknologi

Terdapat pelbagai percanggahan pendapat mengenai perkara ini. Sesetengah pakar pelancongan mencadangkan anda harus  membawa pemain DVD, PSP dan lain-lain barangan hiburan elektronik bagi memastikan anak-anak anda sentiasa gembira dan leka. Ada juga yang berpendapat barangan ini hanya akan memisahkan anak-anak daripada dunia luar dan menjadikan mereka tidak mahu bercampur-gaul bersama ahli keluarga. Ini sekaligus menjadikan tujuan percutian anda menjadi tidak bermakna. Anda pastinya tidak dapat menjadikan percutian keluarga ini sebagai sebuah percutian yang menarik dan boleh dikenang sekiranya minda mereka tidak pernah memberikan tumpuan di sepanjang perjalanan.

4. Rileks 

Anak-anak anda pasti akan rileks dan gembira sekiranya anda juga gembira. Jadi, jangan stresskan diri anda dengan merancang terlalu banyak aktiviti dan tempat-tempat yang perlu dilawati. Ini pastinya akan menjadikan anda lebih tertumpu untuk menyempurnakan kesemua aktiviti-aktiviti tersebut. Anda pastinya mahukan anak-anak mengingati keseronokan dan kegembiraan yang dialami dan bukannya saat-saat yang merimaskan dan penuh dengan tekanan. Sebagai tambahan, anda juga haruslah lebih realistic tentang berapa banyak masa yang anak-anak anda boleh kekal gembira berada di dalam kereta di sepanjang perjalanan. Bagi anak yang berusia empat tahun misalnya pasti tidak akan duduk diam dengan lebih lama berbanding dengan anak yang sudah berusia 10 tahun.

5. Berkongsi

Adalah sukar untuk melihat anak-anak anda berkongsi barang-barang mereka bersama di rumah, jadi jangan harapkan keajaiban akan berlaku pula di sini. Bekalkan mereka dengan barang-barang dan peralatan yang mereka suka untuk meminimakan pergaduhan. Pastikan mereka mendapat waktu tidur yang mencukupi apabila anda merancang untuk bercuti, dan berikan mereka keistimewaan untuk duduk di kerusi penumpang hadapan secara bergilir-gilir. Jika terdapat lebih daripada seorang dewasa, anda mungkin boleh bergilir-gilir memandu. Ini secara tidak langsung akan dapat memastikan pemandu menumpukan perhatiannya kepada pemanduan dan penumpang yang lain pasti akan gembira dan selamat.


Sumber : MyMesra

0 comments:

Post a Comment