Tuesday, August 17, 2010

Pelabuhan Kemaman Jadi Destinasi Persinggahan 3,000 Penumpang Kapal Diamond Princess

Pelabuhan Kemaman bakal menjadi destinasi pelancongan terulung di rantau ini, apabila dimajukan sebagai antara destinasi persinggahan kapal bertaraf lima bintang bermula tahun depan.

Kelmarin, (9 Disember), Kapal Diamond Princess yang mampu menampung sehingga 3,000 penumpang dari kalangan kakitangan kapal dan pelancong seluruh dunia singgah di Pelabuhan Kemaman yang menjadi satu daripada destinasi percutian sepanjang tiga minggu selepas Beijing, Bangkok, sebelum meneruskan pelayaran ke Singapura.

Seramai 1,800 pelancong dari 32 negara seluruh dunia itu sampai di Pelabuhan Kemaman kira-kira jam 7 pagi, sebelum sebahagian mereka mengikuti aktiviti melawat ke sekitar Kemaman dan Kuala Terengganu dan dijangka belayar ke Singapura, pada jam 6 petang, hari yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelabuhan Kemaman, Kapal Diamond Princess singgah buat pertama kali ke Terengganu sejak lima tahun lalu.

Katanya, faktor kedalaman air di pelabuhan kemaman sehingga 18 meter mampu menampung kehadiran kapal besar sehingga 160,000 tan metrik berat dek, selain sistem keselamatan dan spesifikasi pelabuhan yang terjamin.

“Banyak manfaat yang diperolehi penduduk dengan kehadiran kapal bertaraf lima bintang itu kerana mereka dapat memperkenalkan produk yang dihasilkan sekali gus meningkatkan sumber ekonomi mereka,” katanya yang turut berjanji akan meningkatkan kemudahan prasarana seperti tandas, kedai makan dan kedai bebas cukai bagi menggalakkan lagi pembangunan pelancongan di kawasan itu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Dato’ Mohd nasir Ibrahim Fikri dan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainudin.

0 comments:

Post a Comment