Friday, September 17, 2010

Pantai Teluk Lipat Dungun


Pantai Teluk Lipat yang terletak di daerah Dungun diberi nama kerana kawasannya berteluk dan selalu terhakis apabila datangnya musim monsun timur laut atau tengkujuh. Kawasan berteluk ini telah dibenteng dengan konkrit bagi menghalang hakisan ombak. Ia bermula dari Rumah Pegawai Daerah hinggalah ke kawasan Taman Selera. Walaubagaimana pun pelancong atau anak tempatan boleh bersantai di kawasan lain kerana pantainya terlalu panjang bermula dari muara Sungai Dungun hinggalah ke Kampung Sura Hujung di mana terletaknya Kampus UiTM Dungun dan terletak pula Banjaran Bukit Bauk dan Pantai Rekreasi Teluk Gadung. Jalan raya di sepanjang pantai ini dinamakan Jalan Pantai Sura iaitu yang bermula dari Muzium Daerah Dungun hinggalah ke Kampus Uitm Dungun.

Sepanjang kawasan ini juga mempunyai beberapa hotel antaranya Mayang Sari Resort Dungun , Ulek Beach Resort dan Hotel Uitm Dungun sendiri. Sepanjang pantai ini juga terdapat gelanggang bola sepak pantai, Muzium Daerah Dungun, Rumah Tetamu Dungun, beberapa taman perumahan, dan Kelab Golf Desa Dungun. Terdapat juga pelbagai rekabentuk unik wakaf untuk nelayan dan tempat simpanan bot yang dibina oleh nelayan di sini. Kebanyakkannya dibina dengan menggunakan buluh, kayu dan beratap daun kelapa. 




Di sepanjang pantai ini terdapat banyak restoran, warung dan gerai makanan laut dan makanan tradisi sama ada dibina oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan atau dibina di atas tanah sendiri. Kawasan pantai yang terletak di Kampung Sura Jeti yang berhadapan dengan Sekolah IMTIAZ pula terletaknya kawasan permainan kanak-kanak, trek dan alatan untuk beriadah. Di situ juga terletak tinggalan sejarah zaman perlombongan bijih besi di Bukit Besi antaranya ialah Tiang Opal yang merupakan tiang jambatan untuk mengagihkan bijih besi ke kapal tongkang sebelum di bawa ke tengah laut untuk diangkut dengan kapal kargo. Kesan tinggalan lain ialah batuan dan konkrit yang masih kukuh serta kawasan ini bertanah merah kesan daripada bijih-bijih besi.



0 comments:

Post a Comment